Beberapa Jam Sebelum Seseorang Menemukan Mayatku

Seseorang akan membekap mulutnya sendiri, satu atau dua jam sebaik saja aku habis menulis kisah ini, kerana ia amat terkejut sewaktu ia menemui mayatku.

Mungkin, ia pegawai hotel yang menghantar sepiring nasi goreng ikan masin, tiga botol bir bintang, satu gelas kosong, dan bekas kecil berisi potongan-potongan ais, dua jam yang lalu, kira-kira empat jam sebelum pisau ibuku merobek perut anaknya.

Dia juga lelaki yang sama, dengan senyuman yang selalu nampak seperti dipaksakan, yang menyambut aku waktu pertama kali aku tiba di sini, beberapa saat sebelum aku tiba-tiba merasa lapar dan memesan nasi goreng terakhirku di bumi. Aku tidak melihat ada pegawai lain. Pemilik hotel ini terlalu kedekut untuk sekadar membayar satu orang lagi.

Lelaki itu mungkin akan bergegas menelefon polis. Dan, setelah menyampaikan seluruh maklumat yang menurutnya perlu, ia meneguk bergelas-gelas air sejuk demi untuk menenangkan diri. Ia kemudiannya akan susah tidur berhari-hari setelah melihat seluruh isi perutku terburai, termasuk nasi goreng yang ia buat untukku dengan tidak rasa sungguh-sungguh. Darahku berpercikkan menutupi lantai bilik. Aku bayangkan ia jatuh, sesudah bersusah payah membuka pintu, kerana tergelincir. Atau, mungkin, ia si pengecut yang takut melihat darah.

Setelah menelefon polis, ia terjumpa cerita yang sedang kau baca sekarang yang elok terletak di depan televisyen yang sengaja aku biar tetap hidup dan bercakap kepada dirinya sendiri. Ia mungkin tidak berani membacanya dan, oleh itu, ia menyerahkannya entah kepada siapa — dan, aku tidak mahu tahu, mengapa boleh ia sampai kepada kamu.

Polis yang menerima telefon mungkin akan mengutuk entah siapa punya kerja sambil meludah-ludah. Dia belum mampu memecahkan teka-teki kematian Sharif yang cerita mengenainya memenuhi halaman akhbar di kota ini, yang kepalanya dijumpai terletak di bawah bangku halte tidak jauh dari balai tempat ia bekerja. Kira-kira seratus lima puluh meter dari kepala pemuda itu, di tempat pembuangan sampah, seperti yang kau baca di surat kabar, seorang pengutip sampah menemui lengan kanan Sharif membusuk dikerumuni lalat. Walaupun surat khabar tidak menceritakan dengan lebih terperinci mengenai pengutip tersebut, sebab wartawan berfikir tidak perlu mempertanyakannya, namun pengutip sampah itu tentu sempat berharap lengan Sharif mampu menggantikan lengannya yang hilang entah di mana — ketika berada dalam kemalangan panjang, kau tahu, manusia kadang-kadang memiliki kemampuan memikirkan hal-hal yang tidak masuk akal.

Tidak jauh dari tempat sampah tersebut, seperti tertulis di akhbar, di depan masjid, sepasang kaki Sharif juga ditemui. Aku kesal membaca berita itu, sebab para wartawan tidak berusaha menelusuri kenapa tungkai kaki Haris harus berada di depan masjid, di tempat sampah, di tempat sampah kuning. Padahal, perkara-perkara kecil semacam itu tentu saja memiliki maksudnya, masing-masing. Seseorang membunuh seseorang yang lain selalunya didasari oleh maksud-maksud tertentu. Tetapi, kau tahu, para wartawan dan polis terlalu pemalas untuk mengetahui persoalan sederhana yang semacam itu. Seorang wartawan dengan bangga pernah memberitahu aku bahawa hanya ada dua jenis wartawan di kota ini. “Wartawan yang pemalas dan wartawan yang berhenti jadi wartawan kerana letih bermalas-malasan,” katanya. Kata wartawan di ayat sebelum ini, kau mampu gantikannya dengan polis, tentera, datuk bandar, ahli politik, mahasiswa, atau apa pun yang sesuai bagi kamu.

………………..……………………………………………

Bahagian-bahagian lain tubuh Sharif belum ditemui. Dan, itulah yang membuat pegawai polis yang menerima panggilan telefon pegawai hotel usang tempat aku menulis cerita ini marah. Belum selesai satu kes, muncul kes yang lain! Pegawai polis itu berfikir orang-orang di kota ini telah menindasnya. Ia berfikir orang-orang tidak ingin melihat hidupnya tenang.

Aku menulis cerita ini, di kamar hotel murah ini, untuk memudahkan pekerjaan para polis. Mereka tidak perlu memberitahu siapa pun, kerana semua orang tahu bahawa polis tidak suka bekerja. Wartawan, polis, datuk bandar, ahli politik, pemilik hotel tempat aku bunuh diri, dan semua orang di kota ini pemalas. Dan, kau tahu, untuk itulah orang yang cuma mampu mengeluh seperti aku senang untuk menulis cerita. Untuk itulah aku menulis cerita ini. Agar para wartawan dan polis tetap dengan sikap bermalas-malasan, sekaligus merasa telah melakukan pekerjaan yang membuatnya berhak menerima gaji.

Seperti yang telah kau duga, aku yang membunuh Sharif!

Aku sebenarnya tidak biasa melakukan perkara sebegini. Aku tidak biasa memulakan cerita dengan kemarahan seperti ini. Itulah alasan kenapa aku mesti memesan tiga botol bir. Aku tidak pernah minum bir. Aku lebih suka minum bergelas-gelas kopi pahit daripada harus meneguk cairan syaitan memabukkan beraroma kencing anjing itu. Meneguk minuman beralkohol adalah pekerjaan para pengecut yang terlalu pengecut sehingga berusaha melarikan diri dari kemabukan yang lebih berat bernama kehidupan.

Sebelum ini, sejujurnya, aku tidak tahu bahawa ketika berhadapan dengan kematian, seseorang biasanya tidak mampu mengawal kata-katanya sendiri. Kau tahu, aku bahkan belum menyebutkan hal yang sesungguhnya ingin kukatakan di cerita ini.

………………..……………………………………………

Dua tahun lalu, aku jatuh cinta dan menjadi kekasih kepada seorang perempuan bernama Mala. Ia merantau dari pulau Jawa dan bekerja sebagai pegawai bank swasta di kota ini. Ia kerap membayangkan dirinya menikah dengan lelaki yang gemar membaca buku dan, kau tahu, itulah yang membuat kami bertemu di perpustakaan tempatku bekerja. Petang itu, ia lalu melepasi pintu perpustakaan seperti mimpi indah yang tiba-tiba meruntuhkan semua kebosanan atas hidupku sendiri.

Mala senang membaca puisi-puisi Sapardi Djoko Damono dan tidak menyukai puisi-puisi Goenawan Mohamad. Aku tidak tahu kenapa. Padahal, menurut yang aku tahu, puisi-puisi mereka boleh dikatakan lahir dari rahim yang sama. Mungkin Mala pernah membaca berita di internet mengenai Goenawan Mohamad dan kawan-kawannya.

Ketika kami akhirnya menjadi sepasang kekasih, Mala mengaku baru seminggu meninggalkan kekasihnya. Lelaki yang menjadi kekasihnya selama sembilan bulan itu mempunyai hubungan dengan seorang pegawai bank lain yang memiliki sepasang payudara lebih berisi dan tidak suka membaca buku puisi.

Kemudian, aku pun tidak tahu kenapa Mala tiba-tiba meminta putus setelah kami menjalani hubungan selama tujuh bulan. Mungkin ia bosan melihat aku yang miskin dan tidak tahu berhenti merungut terhadap kemiskinan aku. Atau, mungkin, ia rindukan bekas kekasihnya yang curang itu, yang ternyata anak salah seorang ahli politik di kota ini. Tapi, kau tahu, aku tidak peduli apa pun alasan kenapa ia meninggalkan aku dan aku tidak meminum segelas pun bir ketika ia meninggalkanku. Aku tidak sedih hingga aku menyedari ia tidak pernah lagi datang ke perpustakaan dan memilih lebih rajin pergi ke salon untuk membuat kulitnya lebih putih, kencang dan tegang.

Tiga bulan setelah putus dengan Mala, aku bertemu dengan Dewi. Kami bertemu di kedai buku Gramedia. Bertemu dengan perempuan yang kemudian menjadi kekasihmu di kedai buku adalah peristiwa yang indah. Ia seperti puisi yang tidak perlu dituliskan, seperti adegan di dalam filem-filem lama. Sesungguhnya, aku lebih suka jika kami bertemu di kedai buku kecil, bukan di kedai buku besar — bukan di supermarket. Tetapi, kau tahu, di kota ini, tidak ada kedai buku lain selain Gramedia.

Aku fikir, untuk membuat cerita ini sedikit lebih menarik, aku perlu mengatakan bahawa nama lengkap Dewi adalah Dewi Lestari. Tanpa perlu menggunakan data dari badan statistik negara, aku berani jamin, ada ratusan perempuan bernama Dewi Lestari di negeri ini, meskipun cuma satu Dewi Lestari yang menjadi penulis bestseller. Tetapi, Dewi lebih senang dipanggil Wiwi daripada Dee. Ia kerap marah apabila aku memanggilnya Dee. Ia tidak pernah membaca buku yang ditulis Dewi Lestari. Ada dua alasannya. Pertama, ia tidak suka ada seorang bernama Dewi Lestari yang lebih pandai menulis daripada dirinya. Kedua, ia percaya pendapat seorang pengkritik sastera, ibunya, bahawa karya Dewi Lestari tidak sebagus yang dikatakan oleh orang-orang yang pernah membacanya.

Seperti Mala, kau tahu, Dewi akhirnya pergi dari hidup aku. Kami hanya pernah datang ke kedai buku bersama sebanyak empat kali. Bahkan, kami belum sempat pergi menonton wayang pun. Kami juga tidak pernah sempat berkelahi tentang perlu makan tengahari di warung mana seperti pasangan kekasih lain. Tetapi, walaupun ceritanya singkat, aku perlu menuliskan kisah cinta kami di cerita ini. Maksudku, begini, dari Dewi aku tahu bahawa bekas kekasih Mala adalah Sharif yang kuceritakan sebelumnya. Dan, anak ahli politik itu, juga pernah menjadi kekasih Dewi sewaktu ia masih sekolah menengah.

………………..……………………………………………

Aku tidak mahu lama-lama tinggal di dalam kesedihan kerana ditinggalkan Dewi. Lima hari setelah Dewi pergi, waktu itu aku menghadiri acara reunion sekolah menengah, aku menyampaikan perasaan cintaku kepada Nanti. Dan, kau tahu, Nanti menerimaku dengan satu catatan: aku harus melamarnya. Bahkan ia tidak mahu mempersoalkan keadaan keluargaku yang sungguh-sungguh datang dari kelas yang berbeza jauh di bawah keluarganya. Nanti, kau tahu, sudah lama muak dengan keserakahan ayahnya.

Berbeza dengan Mala dan Dewi, Nanti tidak suka pacaran dan itulah alasan kenapa ia tidak pernah menerima cintaku sejak kami masih sekolah menengah. Aku memang kerap membayangkan diriku menjadi suami Nanti. Dan, tentu saja, aku menerima tentangannya dan ibuku tersenyum mengetahui aku akhirnya ingin menikah setelah bertahun-tahun hari-harinya dirundung kemurungan.

Tetapi, hidup selalu punya tetapi. Dua hari sebelum aku melamar Nanti, Sharif dan ayahnya yang ahli politik itu datang. Dan, kau tahu, ayah Nanti, pemilik hampir semua media di kota ini, menerima lamaran Sharif.

Sekarang, kau tahu kenapa aku membunuh Sharif. Alasannya sungguh bukanlah perkara rumit. Tidak ada hal yang betul-betul rumit untuk manusia yang mahu berfikir. Aku tidak boleh menerima kenyataan bahawa semua perempuan yang kucintai hilang dari hidupku kerana seorang lelaki yang sama. Kira-kira sesederhana.

………………..……………………………………………

Nanti menyembunyikannya. Sementara itu, para wartawan dan polis tidak cukup pintar untuk mengetahuinya. Nanti tidak mengatakan kepada siapa pun bahawa ia pernah berjanji bersedia untuk menjadi isteriku.

Aku menulis cerita ini, dan kemudian merobek perutku sendiri bukan untuk membuat Nanti bersedih. Tidak sama sekali. Aku mampu sangat kejam kepada diri sendiri, tetapi aku tidak mampu melakukan hal begitu kepada Nanti. Lagi pun, seperti yang kau baca di akhbar, Nanti sudah berada di salah satu kamar rumah sakit jiwa sebelum cerita ini aku tulis. Dan, yang paling menyedihkan sekali, kemungkinan setelah sembuh, ia tidak ingat pernah mengenal namaku.

………………..……………………………………………

Jika kau membaca cerita ini, siapa pun kau, beritahu pegawai hotel yang menemui mayatku bahawa aku menyimpan wang untuknya di bawah televisyen yang sedang bercakap kepada dirinya sendiri itu. Aku tahu aku telah menyusahkan hidupnya dan ia boleh pergi berhibur dan meninggalkan tempat terkutuk ini. Dan, kufikir, pemilik hotel sialan ini terlalu bakhil untuk menaikkan gajinya. Ia terlalu sibuk menikmati kebahagiaannya menindas orang lain dengan membiarkan pegawainya kehilangan senyuman dan masa muda percuma.

Aku tidak bunuh diri. Kepalaku penuh kekacauan, pecahan-pecahan fikiran buruk, dan aku tidak pernah berjaya memperbaikinya — tidak lagi. Tetapi, tolong, pisau itu, kembalikan ke rumahku. Penderitaan ibuku sudah cukup dengan kehilangan suaminya dan satu-satunya anak yang tidak berguna. Aku tidak ingin ia kehilangan pisau juga. Sejak ayahku mati dibunuh polis dua tahun lalu kerana melawan pengadilan dan pemilik hotel yang merampas tanah kami, ibuku mengasah pisau dapur itu setiap malam sebelum ia tidur. Ibuku, kau tahu, masih membutuhkan pisau itu!

………………..……………………………………………

*Cerita ini adalah sebagian daripada sebuah kisah yang direncanakan lebih panjang.

__________________________________________________________________________________________________________

Cerita saya kutip dari laman Medium M Aan Mansyur dan saya olah ke versi Bahasa Malaysia yang mudah dibaca oleh anda. Jika anda ingin membaca di dalam versi Bahasa Indonesia, anda boleh ke SINI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *